'RAINFOREST SKYWALK' TERPANJANG DI SABAH SIAP DIBINA

Sebahagian daripada titian kanopi Sepilok

SANDAKAN - Rainforest Skywalk atau titian kanopi ini merupakan salah satu mercu tanda Sandakan yang paling ikonik dan terpanjang di Sabah.

Dibiayai oleh kerajaan negeri Sabah di bawah Rancangan Malaysia ke-12, titian kanopi di Rainforest Discovery Centre (RDC), Sepilok kini sepanjang 620 meter siap dibina.

Disebabkan kekangan pembiayaan, pembinaan telah dijalankan dalam lima fasa, dengan pembiayaan awal sebahagian besarnya daripada Kerajaan Persekutuan.

Berikutan penyiapan fasa lanjutan terakhirnya baru-baru ini, sambungan 250 meter itu telah siap dibina dengan kos kira-kira RM4 juta, di mana jumlah keseluruhan pembinaan titian kanopi ini telah dibelanjakan sebanyak kira-kira RM13 juta, lapor Ketua Konservator Hutan, Datuk Frederick Kugan.

Beliau mendedahkan perkara itu selepas menyampaikan Sijil Siap Praktikal (CPC) kepada Buildtech Enterprise, di lokasi pada hari jumaat lalu (25 Feb).

Datuk Frederick Kugan (kiri) menyampaikan CPC kepada Buildtech Enterprise
Titian kanopi ini dibina merentasi antara pokok hutan yang tingginya kira-kira 25 meter dan ianya berfungsi sebagai kemudahan utama yang menarik pengunjung dari seluruh dunia untuk ke Sepilok.

Melihat tupai terbang di waktu senja adalah aktiviti yang popular dan sukar dilupakan disepanjang Rainforest Skywalk ini.

Di Sabah, titian kanopi juga terdapat di beberapa tempat iaitu, Poring Hot Spring (374 meter), Lembah Danum (300 meter), Maliau Basin (294 meter). Walau bagaimanapun, ia kebanyakannya jambatan gantung yang bersambung dengan pokok-pokok besar.

Post a Comment

1 Comments